Followers

Friday, July 27, 2012

Komposisi Dewan Rakyat dan Dewan Negara

Dewan Rakyat

Dewan Rakyat mempunyai seramai 222 ahli, dan setiap ahli mewakili satu kawasan pilihan raya. Ahli-ahli dipilih atas dasar sokongan ramai melalui pilihan raya. Setiap ahli Dewan Rakyat memegang jawatan selama lima tahun, dan selepas itu pilihan raya yang baru akan diadakan.

Kelayakan menjadi ahli adalah seperti berikut:-

1-warga negara Malaysia
2-tidak kurang dari 21 tahun
3-waras fikiran
4-bukan seorang muflis
5-tidak mempunyai rekod jenayah
6-Seorang ahli tidak boleh memegang jawatan kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara dalam satu masa.

Sebelum memegang sebarang kerusi dalam Parlimen, setiap ahli dimestikan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Dewan Rakyat atau Negara. Ahli tersebut hendaklah bersumpah atau berjanji bahawa mereka akan taat menjalankan tugas-tugas mereka sebagai ahli Dewan sebaik yang mungkin dan taat setia kepada Malaysia serta mematuhi, menjaga dan mempertahankan Perlembagaan.

Dewan Negara

Dewan Negara terdiri daripada seramai 70 orang ahli. Dewan Negeri terbahagi kepada dua kategori seperti berikut:-

*26 ahli yang dipilih oleh Dewan Undangan Negeri sebagai mewakili 13 negeri (setiap negeri diwakili oleh dua orang ahli).
* 44 ahli yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, termasuk dua ahli dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan satu ahli masing-masing dari Wilayah Persekutuan Labuan dan Putra Jaya.

Untuk layak menjadi ahli, seseorang calon hendaklah:-

Warganegara Malaysia
Tidak kurang dari 30 tahun
Waras fikiran
Bukan seorang muflis
Tidak mempunyai rekod jenayah

Jawatan itu hendaklah dipegang selama satu penggal (tiga tahun) dan boleh disambung sebanyak satu penggal lagi, sama ada dilantik pada peringkat Persekutuan atau pemilihan pada peringkat negeri.

Kedudukan Dewan Negara tidak berubah dengan pembubaran Parlimen. Ahli-ahli Dewan Negara dilantik atau dipilih dari kalangan mereka yang menyumbang khidmat yang cemerlang atau telah mencapai kecemerlangan dalam profesion masing-masing, dalam perdagangan, industri, pertanian, aktiviti kebudayaan atau perkhidmatan sosial atau merupakan wakil kumpulan bangsa minoriti ataupun berkebolehan menjaga kepentingan orang-orang asli.

Setiap ahli dimestikan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara. Ahli tersebut hendaklah bersumpah atau berjanji bahawa mereka akan taat menjalankan tugas-tugas mereka sebagai ahli Dewan sebaik yang mungkin dan taat setia kepada Malaysia serta mematuhi, menjaga dan mempertahan Perlembagaan.

Tugas Dewan Negara ialah mengkaji semula dan meluluskan rang undang-undang yang dibawa naik oleh oleh Dewan Rakyat. Kedua-dua dewan perlu meluluskan rang undang-undang yang dibuat sebelum akhirnya dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan Baginda.

Pembentukan Kerusi Parlimen/ Negeri

Pembentukan kerusi-kerusi Parlimen dan Negeri dibuat melalui urusan kajian dan persempadanan semula seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 113 dan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 113(4) Perlembagaan Persekutuan mempunyai peruntukan untuk membenarkan pilihan raya yang lain jika undang-undang persekutuan atau undang-undang negeri membenarkan. Suruhanjaya telah menjalankan pilihan raya untuk pihak berkuasa tempatan/majlis sebelumnya dan Seksyen 19 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 memberi maklumat tentang perbelanjaan pilihan raya yang dibenarkan. Walau bagaimanapun, oleh kerana pengisytiharan darurat di bawah Akta Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 1964, pada 18 September 1964 pilihan raya pihak berkuasa tempatan digantung. Penggantungan ini tidak pernah dibatalkan dan pada tahun 1976, pilihan raya pihak berkuasa tempatan dibatalkan. Semua ahli majlis adalah dilantik oleh Kerajaan Negeri.

0 comments:

Post a Comment