Followers

Thursday, March 15, 2012

Hari ini dalam sejarah v

PUTRAJAYA 4 Feb. - Barisan Nasional (BN) hari ini memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan baru di Perak dengan kelebihan tiga kerusi mengatasi 28 kerusi penyandangnya dari pakatan pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan demikian berkata, tiga ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari pembangkang telah menghantar surat kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah semalam memaklumkan mereka telah keluar dari parti masing-masing.

Mereka ialah dua ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang) dan Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) serta ADUN Jelapang dari DAP, Hee Yit Foong.

Pada masa sama, ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang keluar dari BN Sabtu lalu turut mengumumkan kembali semula ke pangkuan UMNO hari ini.

Serentak dengan perkembangan terbaru itu, Najib berkata, beliau akan menghadap Sultan Perak esok untuk memaklumkan secara rasmi bahawa BN Perak mempunyai sokongan yang diperlukan untuk menubuhkan kerajaan baru.

''Fasal XV1 (6) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak memperuntukkan jika Menteri Besar (Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin) hilang keyakinan atau majoriti, beliau hendaklah meletakkan jawatan bersama anggota-anggota Exconya

''Tentu sekali segala-galanya ini ketentuan Ilahi dan kita bersyukur ini berlaku, kita akan mulakan era baru di Perak dan akan berkhidmat untuk kepentingan semua rakyat khususnya di Perak," kata beliau pada sidang akhbar khas di pejabatnya di sini petang ini.

Kemelut politik di Perak memuncak Isnin lalu apabila kedudukan ADUN Changkat Jering dan Behrang menimbulkan tanda tanya setelah Yang Dipertua DUN Perak, V. Sivakumar mengeluarkan kenyataan media bahawa Jamaluddin dan Mohd. Osman telah menghantar surat peletakan jawatan.

Bagaimanapun tidak sampai tiga jam selepas itu, Jamaluddin dan Mohd. Osman menafikan sekeras-kerasnya mereka berbuat demikian.

Berikutan itu, Sivakumar memaklumkan kepada SPR berlaku kekosongan di dua kerusi berkenaan namun SPR yang bermesyuarat semalam menolak diadakan pilihan raya kecil kerana mendapati dari aspek perundangan, wujud keraguan pada surat-surat peletakan jawatan yang dikatakan dihantar oleh Jamaluddin dan Mohd. Osman.

Najib berkata, meskipun Jamaluddin, Mohd. Osman dan Yit Foong kekal sebagai wakil rakyat bebas namun ketiga-tiganya telah memberi aku janji akan menyokong BN.

''Mereka telah memberi mandat kepada saya selaku Pengerusi BN Perak untuk mencalonkan nama Menteri Besar.

''Mereka juga memberi aku janji untuk memberi sokongan kepada Menteri Besar yang dicalonkan oleh BN dan diperkenankan oleh Sultan Perak," katanya.

Ditanya adakah keputusan ketiga-tiga ADUN pembangkang berkenaan menyokong BN sebagai satu tindakan 'tikam dari belakang' bekas parti mereka, Najib berkata:

''Mereka (pembangkang) tidak sangka ini akan berlaku tapi mereka sendiri telah mulakan prinsip untuk tubuh kerajaan tanpa ikut proses demokrasi, jadi mereka tidak boleh salahkan BN''.

Mengenai tuduhan rasuah yang bakal dihadapi Jamaluddin dan Mohd. Osman selepas ini, Najib berkata, ia isu berbeza dengan perkembangan terbaru.

Ditanya sama ada ada ketiga-tiga ADUN bebas berkenaan berkemungkinan menyertai BN selepas ini, beliau berkata: ''Kita tunggu dan lihat''.

Mengenai calon Menteri Besar Perak dan barisan Exco yang baru, beliau berkata, ia belum dibincangkan lagi.

Najib yang turut ditanya sama ada kejayaan BN menubuhkan kerajaan baru di Perak itu sebagai hadiah kepada beliau yang akan mengambil alih kepimpinan kerajaan bulan depan hanya berkata:

''Kebetulan, jangan cakap tentang jawatan''.


0 comments:

Post a Comment