Followers

Friday, March 16, 2012

Orang PR marah bila Kerajaan mereka dijatuhkan

Hasut, guling kerajaan
Hishamuddin Rais
6:55PM Mac 8, 2012
Minggu lalu saya telah menjadi saksi di mahkamah tinggi dekat Jalan Duta. Ini kes enam reformis menyaman ketua polis negara sebelum ini Norian Mai. Saya salah seorang dari enam reformis yang menyaman Norian Mai atas dakwaan memfitnah dan membuat onar terhadap para reformis.

Pada 10 April 2001, ketika Norian Mai berkuasa sebagai ketua polis negara, dia telah menangkap 10 orang reformis. Para reformis telah ditangkap dengan tuduhan merancang untuk menggulingkan kerajaan.

Keesokan hari, pada 11 April 2001, Norian Mai telah membuat sidang akhbar. Pada 12 April 2001, semua akhbar telah membuat laporan tentang sidang akhbar ketua polis negara ini. Para reformis telah dituduh memiliki grenade launcher, ball bearing dan bom molotov.

Tetapi bukan tentang ini yang ingin saya tulis. Apa yang saya lakarkan ialah politik di belakang penangkapan ini. Dan apa dia pencerahan realpolitik terhadap kes ini.

Untuk memulakan pencerahan, saya ingin memberitahu pembaca terutama anak-anak muda harus sedar dan faham bahawa bukan satu kesalahan untuk menggulingkan kerajaan.

Jangan kita ditakut-takutkan apabila mendengar perkataan "ingin menggulingkan kerajaan".

Parti politik DAP, PKR atau PAS semua bertungkus lumus siang dan malam bekerja untuk menggulingkan kerajaan BN. Mahfuz Omar ingin menggulingkan kerajaan. Dr Dzulkefy Ahmad ingin menggulingkan kerajaan. Tian Chua ingin menggulingkan kerajaan. Tony Pua ingin menggulingkan kerajaan. Nurul Izzah Anwar ingin menggulingkan kerajaan.

Malah setiap malam mereka ke hulu ke hilir berceramah dan menghasut orang ramai dalam usaha untuk menggulingkan kerajaan.

Politik jalan raya

Nik Aziz Nik Mat telah berjaya menggulingkan kerajaan BN di Kelantan. Lim Guan Eng telah berjaya menggulingkan kerajaan di Pulau Pinang. Khalid Ibrahim telah berjaya menggulingkan kerajaan di Selangor. Nizar Jamaluddin telah berjaya menggulingkan kerajaan di Perak, tetapi dirampas kembali. Ini adalah bukti bahawa menggulingkan kerajaan bukan satu kesalahan.

Sekali lagi saya ingatkan, jangan sesekali kita ditakut-takutkan dengan perkataan ‘menghasut'. Ceramah-ceramah yang disusun oleh Pakatan Rakyat bertujuan untuk memberi maklumat kepada orang ramai.

Maklumat yang diberi itu bertujuan untuk menyedarkan orang ramai agar mereka menolak kerajaan United Malays National Organisation dan menggantikan dengan kerajaan Pakatan Rakyat. Ini bermakna ceramah itu bertujuan untuk menghasut orang ramai agar bangun menggulingkan kerajaan United Malays National Organisation.

Jika kurang faham biar saya cerahkan lagi makna menghasut. Utusan Malaysia - akhbar milik United Malays National Organisation - setiap hari kerjanya menghasut.

TV3 juga milik gerombolan United Malays National Organisation kerjanya setiap saat menghasut. Iklan kasut baru dan iklan coli ketat minah cun yang terpampang di tepi jalan di belakang Mid Valley itu juga bertujuan menghasut.

Utusan Malaysia dan TV3 menghasut rakyat untuk membenci dan menolak kerajaan Pakatan. Utusan dan TV3 menghasut rakyat untuk menyokong kezaliman yang dijalankan oleh United Malays National Organisation. Begitu juga dengan iklan kasut dan coli minah cun. Iklan-iklan ini juga bertujuan menghasut orang ramai untuk menjadi pembeli.

Justeru menghasut bukan juga satu kesalahan. Malah menghasut rakyat untuk bangun menggulingkan kerajaan adalah tugas suci setiap warga Malaysia yang memiliki akal dan fikiran.

Ketika saya ditangkap bawah ISA pada 10 April 2001 dahulu, alasan tuduhan ialah: saya menghasut rakyat untuk turun ke jalan raya. Atau dalam bahasa cool, saya berceramah untuk menghasut rakyat turun berdemo. Saya tidak pernah menafikan ini.

Malah bukan sahaja dalam ceramah saya menghasut rakyat agar turun berdemo, saya juga membuat teater untuk menghasut orang ramai untuk membenci Mahathir Mohamad dan United Malays National Organisation.

Saya juga telah berkali-kali menulis untuk menerangkan kepada orang ramai tentang politik jalan raya. Tulisan saya telah melakar kembali persejarahan politik Filipina dan Jakarta di mana ditaktor Marcos dan ditaktor Haji Muhamad Suharto telah digulingkan oleh ombak rakyat turun ke jalan raya.

'Saya menghasut maka saya wujud'

Malah saya juga - ketika itu di Pakistan - terlibat sama berdemo untuk menjatuhkan kerajaan zalim Shah Reza Pahlavi di Tehran pada tahun 1978. Untuk saya, semua ini bukan kesalahan. Untuk saya ini satu tugas suci yang wajib saya lakukan sebagai manusia yang memiliki akal, fikrah dan keintelektualan.

Ahli falsafah Perancis yang bernama René Descartes (1596-1650) berkata: "Saya wujud kerana saya berfikir."

Justeru saya pula berkata: "Saya menghasut maka saya wujud."

Menghasut untuk menggulingkan kerajaan yang zalim adalah wujudiah saya. Saya wujud dan amat bangga kerana saya menghasut orang ramai untuk bangun menentang gerombolan United Malays National Organisation.

Untuk kerajaan dan rejim yang zalim, orang ramai turun ke jalan raya dilihat sebagai satu kesalahan. Di sini ingin saya jelaskan kepada warga Malaysia yang mungkin tidak sedar bahawa turun berkumpul ke jalan raya adalah hak kita sebagai warga negara ini. Hak ini ada tercatit dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Justeru berkumpul dan berdemo adalah hak asasi kita.

Mari kita lihat sejarah tunjuk perasaan yang membawa hasil kebaikan. Pada tahun 1998 dahulu satu gerakan ampuh ke jalan raya telah dimulakan oleh Gerakan Reformasi. Gerakan Reformasi ini ingin menghalau Mahathir dari terus menjadi perdana menteri.

Tanpa tunjuk perasaan yang menghasut orang ramai untuk mengutuk dan memburukkan Mahathir pasti hari ini perdana Menteri malaysia masih lagi Mahathir Mohamad. Sahih demonstrasi yang dikatakan bukan budaya kita oleh Mahathir telah menumbangkan Mahathir Mohamad sendiri.

Bukti-bukti sahih di mana demonstrasi membawa hasil positif terus terkumpul sebagai ilmu pengetahuan. Ingati kembali para peguam yang turun berdemo di Putrajaya pada 27 September 2007. Ini dikuti dengan demo BERSIH yang pertama pada 10 November 2007. Beberapa minggu kemudian pada 25 November, Hindraf pula turun ke jalan raya.

Hasil mutlak dari semua tunjuk perasaan ini ialah kemenangan Pakatan dalam pilihan raya 8 Mac 2008. Tunjuk perasaan di jalan raya ialah tanda kemarahan rakyat.

Apabila orang ramai turun ke jalan raya, para demonstran ini telah memperkasa diri mereka. Memperkasa diri ini akhirnya diterjemahkan sebagai undi untuk Pakatan. Sesiapa yang berani menolak hakikat bahawa demo jalan raya akan membawa kemenangan di peti undi wajib diperiksa keupayaan otak mereka.

Santau radioaktif

Contoh terbaru di mana politik jalan raya telah membawa hasil positif ialah apabila 20,000 penunjuk perasaan keluar di Kuantan pada pagi 26 Febuari 2012 yang lalu. Para demonstran telah menentang kewujudan kilang nadi bumi Lynas.

Orang ramai telah diberi pencerahan tentang bahaya santau radioaktif yang akan dikeluarkan oleh kilang ini. Orang ramai juga telah dihasut oleh Himpunan Hijau untuk turun ke jalan raya.

Hasilnya, pada petang yang sama Najib Razak telah membuat kenyataan bahawa sisa-sisa santau radioaktif ini tidak akan disimpan di Gebeng.

Kenyataan putar belit Najib ini bercanggah dengan kenyataan awal yang mengatakan bahawa sisa santau radio aktif ini selamat. Justeru - terbukti - jika orang ramai tidak turun ke jalan raya pasti Najib tidak akan bersuara. Tanpa demo penentangan pasti warga di Gebeng akan disantau oleh radioaktif.

Justeru, pencerahan yang ingin saya sebarkan ialah demonstrasi, tunjuk perasaan dan politik jalan raya menjamin akan membawa hasil yang positif. Berdemo adalah berbaloi.

Apa yang saya ajukan ini bukan lagi teori. Ini bukan angan-angan. Ini adalah satu garis politik yang tepat. Ini pendekatan politik yang akan menghasilkan kemenangan untuk orang ramai.

Pada ketika setiap hari kerajaan Pakatan diserang. Pemimpin Pakatan diserang. Hanya politik jalan raya sahaja yang akan memastikan kerajaan Pakatan selamat. Politik jalan raya juga akan memastikan Pakatan berjaya merangkul kemenangan baru.

Saya mengajukan politik jalan raya ini kerana saya memiliki bukti yang sahih. Ketika saya disoal siasat selama 60 hari di 'bilik sulit' hingga ke Kamunting, pekara yang ditimbulkan berkali-kali oleh United Malays National Organisation ialah pandangan saya tentang demonstrasi.

Untuk saya cukup senang, jika musuh saya tidak suka perkara yang saya lakukan, maka ini bermakna apa yang saya lakukan itu adalah tepat. Jika musuh saya tidak marah dan tidak menyerang saya maka ini bermakna saya dan musuh telah sebati. Hukum politik ini tidak akan berubah-ubah hingga hari kiamat.

Demonstrasi telah membawa banyak hasil yang positif. Ini telah dibuktikan dengan betapa gentarnya Mahathir bila berhadapan dengan rakyat yang bangun menunjuk perasaan. Najib Razak juga tahu dan sedar akan keupayaan politik jalan raya membawa perubahan.

Justeru Najib dengan tergesa-gesa telah membuat akta baru sesudah tunjuk perasaan BERSIH 2.0. Akta baru ini adalah percubaan Najib untuk meneruskan kuasa United Malays National Organisation yang zalim.

Kalau dahulu saya menulis buku bertajuk: Pilihanraya atau Pilihan Jalan Raya, Kali ini saya mengajukan slogan "ke jalan raya sebelum ke pilihan raya".

Malaysiakini

0 comments:

Post a Comment