Followers

Friday, March 16, 2012

MAZA menulis...

ULASAN dinafikan di sudut demokrasi dan kebebasan bersuara, rakyat di Barat ini lebih menikmatinya dibandingkan sebahagian besar manusia lain di atas bumi ini, termasuk yang berada di kebanyakan negara Muslim.

Di sudut ketelusan pengurusan harta rakyat, Barat juga kelihatan mendahului dunia lain. Demikian juga di sudut pembangunan teknologi dan kemudahan yang lain. Hakikatnya bukan sedikit budaya dan nilai tamadun yang positif ada di Barat.

Namun, mengandaikan Barat itu sempurna di sudut kebebasan dan tiada unsur penindasan agama dan kaum adalah tidak benar sama sekali. Malangnya, anggapan yang seperti itu wujud dalam pemikiran segelintir rakyat dunia lain termasuk negara kita, dengan menganggap Barat adalah kiblat bagi keadilan sejagat.

Sehingga apa sahaja nilai keadilan, mereka akan merujuk kepada amalan di Barat. Seakan Barat itu begitu sempurna dalam soal tersebut. Hal ini perlu diperbetulkan.

Perkauman

Sesiapa yang membaca tulisan Hanif Kureishi The World and The Bomb akan dapat memahami betapa rasisme ataupun perkauman begitu kuat di Barat sejak era 60-an lagi. Bahkan sebelum itu pun.

Hal ini sudah lama, bukan bermula dari 11 September sahaja. Hanif Kureishi dilahirkan di London oleh ibu yang berketurunan Inggeris dan bapa yang berketurunan Pakistan. Bapanya datang ke UK pada tahun 1947.

Dia menceritakan betapa tertekan dirinya dan mereka yang sepertinya sejak kecil disebabkan keturunan mereka. Penghinaan, ejekan dan diskriminasi di serata tempat. Media termasuk BBC masa itu memainkan peranan meniupkan semangat perkauman.

Mereka yang dianggap pendatang kadang-kadang diburu dan dipukul di jalanan hanya kerana warna kulit. Kes yang seperti ini masih lagi wujud sehingga ke hari ini walaupun sudah berkurangan.

Kureishi menceritakan bahawa sehingga pada zaman kanak-kanak dan remaja, ada kalangan mereka rasa begitu menyesal dilahirkan sebagai keturunan ‘tidak berkulit putih’. Mereka benci kepada diri mereka sendiri, kemudian membenci persekitaran mereka yang tidak adil dan tidak meraikan kehadiran mereka dalam masyarakat Barat.

Sekalipun mereka dilahirkan di Barat, mereka tetap dianggap pendatang asing kerana ibu bapa mereka pendatang. Sedangkan jika kita renung, antara punca India dan Pakistan ke UK adalah disebabkan British yang telah menjajah negara mereka dan akhirnya mereka mencari kehidupan di tanah British.

Sehingga ke hari ini isu diskriminasi kaum dan agama belum selesai di Barat. Muslim sering merasa tertekan dengan identiti mereka sebagai Muslim. Momokan media telah memberikan gambaran yang buruk terhadap muslim di Barat.

Sebahagian bancian menunjukkan 75 peratus orang Barat mempunyai gambaran buruk terhadap Islam. Lantas, Muslim selalu menjadi suspek dalam pelbagai perkara buruk. Di samping tidak dinafikan wujudnya faktor kelemahan dalaman masyarakat Muslim itu sendiri, namun diskriminasi memainkan peranan besar dalam meminggirkan mereka.

Persoalan identiti

Persoalan tentang identiti mereka sering dibangkitkan. Apakah mereka itu ‘European’ atau ‘American’ ataupun mereka Muslim. Seakan dua identiti yang tidak dapat disatukan sama sekali. Ataupun mereka mesti menjawab persoalan: “European (or American) first or a Muslim first?”. Ini menghampiri soalan yang sama yang dibangkit dalam politik kita “Melayu dulu, ataupun Malaysia dulu”. Ataupun, “Malaysia dulu, ataupun Islam dulu”.

Namun, bagi Muslim ataupun Melayu di Malaysia persoalan itu hadir dalam konteks yang berbeza. Persoalan berkenaan di Malaysia bagi menonjolkan siapakah lebih kukuh keislamannya, ataupun membuktikan siapakah yang lebih teguh kemelayuannya dalam meraih undi masyarakat melayu yang menjadi majority rakyat.

Adapun di Barat persoalan tersebut dibangkit kerana Muslim di sini sering dicurigai kesetiaannya kepada negara. Mereka dituduh tidak setia kepada negara disebabkan kesetiaan mereka kepada Islam. Dalam erti kata lain, masyarakat Barat sering melihat identiti Barat dan Islam tidak dapat disatukan.

Maksudnya, jika awak menjadi Muslim awak tidak mungkin menjadi orang Eropah dan orang Amerika yang sebenar. Ataupun vice-versa jika awak menjadi orang Eropah dan orang Amerika, awak tidak mungkin menjadi Muslim yang sejati.

Prof Tariq Ramadan dalam bukunya What I Believe membahas dan cuba menjawab persoalan ini. Beliau melihat dua identiti itu sebenarnya tidak bertentangan jika merujuk dalam konteks atau lingkungan apa ia diperkatakan. Di sudut agama seseorang itu berpegang kepada identiti agamanya. Sementara di sudut politik, dia berpegang kepada identiti negara.

Tidak semestinya bertentangan. Kata beliau: “In the realm of religion and philosophy, that imparts meaning to life, a human being is first and foremost an atheist, a Buddhist, a Jew, a Christian, or a Muslim: her or his passport or nationality cannot answer the existential question. When an individual must vote for a candidate at an election, she or he is first an American, Italian, French or British citizen involved in national affairs. Depending on the realm or the field of activity, the individual therefore puts forward one identity or another, and that is not contradictory.” (Oxford University Press (2010), ms 36-37).

Hal yang sama boleh dicontohkan dalam identiti seseorang sebagai bapa dan dalam masa yang sama dia seorang anak. Ataupun, dia seorang guru dan dalam masa yang sama seorang pemain bola. Cumanya, persoalan timbul apabila dua identiti itu benar-benar bertentangan. Kehendak negara yang bercanggah dengan agama dan kehendak agama yang bercanggah dengan negara.

Dalam kes yang seperti itu seseorang hendaklah merujuk kepada nilai dan prinsip keadilan dan kebaikan sejagat yang dipertahankan oleh semua pihak, termasuk Islam. Jika pemimpin zalim, ataupun rasuah ataupun salahguna kuasa dan selain; semua itu ditentang oleh Islam dan kemanusiaan yang waras.

Jika nilai-nilai insani sejagat itu dihayati tiada suatu pun bertentangan dengan Islam yang hakiki. Cumanya yang kelihatan bertentangan jika kezaliman seperti memusnah negara lain ataupun rakyat sendiri yang dilakukan oleh Hitler, Bush, Blair, Gaddafi, Khamenei, Asad dan regim-regim yang lain itu dijadikan identiti negara.

Setiap rakyat dipaksa pula memakai identiti itu. Maka pertentangan identiti akan berlaku. Demikian jika agama disalahtafsirkan sehingga terrorisme, rasisme, kebencian, permusuhan tanpa sebab yang sah dan seumpamanya dijadikan identiti agama, maka pertentangan juga akan berlaku.

Islam yang sebenar bersifat sejagat. Ia selaras dengan nilai-nilai kemanusiaan segajat. Ini kerana ia diturunkan oleh Tuhan sekalian makhluk. Asas syariat Islam adalah untuk kemaslahatan insan. Ia bersifat anjal dalam pendekatan atau cara bagi disesuaikan dengan setiap budaya setempat dan persekitaran manusia.

Mustahil Islam membawa satu nilai yang memusnahkan kehidupan manusiawi yang baik. Demikian, kenegaraan yang sebenar akan memelihara nilai-nilai keadilan sejagat dan kemaslahatan rakyat. Jika kedua identiti itu difahami dari sudut yang betul, pasti tiada sebarang pertentangan.

Hal yang sama boleh digunakan dalam menjawab persoalan “Muslim dahulu, Melayu dahulu, Cina dahulu, India dahulu ataupun Malaysia dahulu?”.

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan bekas mufti Perlis. Beliau kini bertugas sebagai zamil di Universiti Oxford, United Kingdom.

Malaysiakini

PERINGATAN: PCT tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Post a Comment