Followers

Thursday, March 15, 2012

Hari ini dalam Sejarah III


KUALA LUMPUR 4 Feb. - Tindakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak sebelum mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, adalah salah, kata seorang peguam hari ini.

Malik Imtiaz Sarwar berkata, ini kerana kuasa untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri terletak di tangan pemerintah negeri, dalam kes ini ialah Sultan dan bukannya Menteri Besar.

Katanya, Undang-undang Tubuh Negeri Perak secara jelas menyatakan pembubaran dewan undangan negeri merupakan kuasa mutlak Sultan dan 'tiada orang lain mempunyai kuasa untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri'.

''Ini seperti Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Parlimen tanpa mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong. Begitu juga dalam kes ini, Menteri Besar perlu terlebih dahulu mendapatkan perkenan Sultan sebelum membuat pengumuman,'' katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, adalah tidak jelas 'bagaimana Menteri Besar memutuskan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.'

Seorang bekas hakim Mahkamah Tinggi, yang enggan namanya disiarkan berkata, tindakan Mohammad Nizar itu boleh membawa kepada 'akibat undang-undang'.

''Adalah lebih elok jika Menteri Besar mempersembahkan terlebih dahulu kepada Sultan sebelum mengumumkan pembubaran itu. Beliau sepatutnya menghadap Sultan tetapi beliau tidak berbuat demikian, oleh itu beliau tidak mempunyai alasan kukuh untuk bertindak demikian,'' katanya.

Kerajaan Negeri Perak pimpinan Pakatan Rakyat hampir tumbang selepas tiga wakil rakyat dari kawasan Changkat Jering, Behrang dan Jelapang mengumumkan mereka meninggalkan pakatan Pas, Parti Keadilan Rakyat dan DAP dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Pada masa yang sama, wakil rakyat kawasan Bota yang meninggalkan Barisan Nasional (BN) hanya seminggu lepas, mengumumkan kembali menyertai BN semula.

Berikutan perkembangan itu, bilangan kerusi yang dipegang pakatan Pas-Parti Keadilan Rakyat-DAP daripada 59 kerusi di Dewan Undangan Negeri merosot daripada 32 kepada 28 kerusi manakala kerusi BN negeri meningkat kepada 28 daripada 27 kerusi.

Pada sidang akhbar petang ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, BN sudah memperoleh wakil rakyat yang mencukupi untuk membentuk kerajaan Negeri Perak yang baru berikutan tiga wakil rakyat Bebas berkenaan telah berikrar untuk memberikan sokongan kepada BN. - Bernama

0 comments:

Post a Comment