Sumber: Utusan Malaysia ( 5 Februari 2009)
Langkah Tajol Dipuji, BN Perak Dapat Nafas Baru
Oleh Zulkiflee Bakar
APABILA Perak jatuh ke tangan pembangkang semasa Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, ramai yang menyangkakan bahawa Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali akan mengundurkan diri. Ini kerana kekalahan Barisan Nasional (BN) Perak yang diterajui oleh beliau adalah sesuatu di luar jangkaan. BN Perak menerima nasib seperti mana rakan separti mereka di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.
Kecundangnya kerajaan negeri BN di empat-empat negeri itu menambah koleksi pemerintahan pembangkang yang sebelum itu sejak tahun 1990 terus menguasai Kelantan. Buat seketika Tajol Rosli yang mendakwa tidak dibenarkan meletakkan jawatan oleh anggota Badan Perhubungan Negeri terus bertahan biarpun ramai pemerhati politik melihat BN Perak tidak melakukan apa-apa bagi memulihkan kedudukannya.
Tetapi akhirnya pada Khamis lalu, Tajol Rosli berundur juga selepas berasa bertanggungjawab terhadap tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bota, Nasaruddin Hashim melompat parti untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR). Berikutan keputusan Nasaruddin itu, kedudukan pakatan pembangkang yang dianggotai oleh DAP, Pas dan PKR semakin kukuh di Perak. Mereka menguasai 32 kerusi DUN berbanding BN yang berkurangan kepada 27 kerusi.
Kemelut Politik di Perak
Walaupun ramai yang berpendapat Tajol Rosli seharusnya sudah mengakhiri karier politiknya pada 9 Mac 2008, namun langkah meletakkan semua jawatan berkuatkuasa 29 Mac depan adalah sesuatu langkah yang patut dipuji. Tajol Rosli tidak mahu menongkah arus sebaliknya mengamalkan sikap bertanggungjawab sebagai seorang ketua.
Bagi Tajol Rosli, apa lagi isyarat yang diperlukan untuk berundur, BN sudah hilang kuasa di Perak, UMNO sudah jadi pembangkang dan seorang ADUNnya melompat ke parti lain. Kesemua rentetan peristiwa ini sudah memberi petanda yang jelas sesuatu harus dilakukan bagi memulihkan kekuatan BN dan UMNO negeri tersebut.
Kini Tajol Rosli akan menjadi catatan sejarah dalam politik Perak tetapi tindakan beliau sekurang-kurangnya boleh memberi 'isyarat' kepada pemimpin-pemimpin tertentu supaya perlu bersedia mengambil langkah yang sama apabila negeri sudah tergadai kepada pembangkang. Apapun pengunduran Tajol Rosli sudah pasti akan menjanjikan episod menarik kepada arena politik Perak. Ia bermakna UMNO akan mendapat nafas baru dan berpeluang untuk mengetengahkan lebih ramai pemimpin pelapis dalam usaha merampas kembali negeri itu daripada pembangkang.
Mengulas perkara ini, penganalisis politik, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, UMNO Perak sepatutnya sukar digugat kerana ia adalah kubu kuat UMNO selepas Johor.
''Tetapi Perak gagal menampilkan ramai pemimpin bertaraf nasional seperti mana Johor lakukan, kini tibalah masanya UMNO Perak mula mengetengahkan lebih ramai lagi pemimpin-pemimpin di peringkat negeri sebelum diangkat ke nasional,'' katanya.
Sudah pastilah dalam soal ini tumpuan kini akan diberikan kepada Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri.
Walaupun Pengerusi Perhubungan akan disandang sementara oleh Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi Ahmad Zahid boleh dianggap bertanggungjawab sepenuhnya mengawasi perjalanan UMNO dan BN Perak.
Perjalanan UMNO di negeri Perak
Justeru Ahmad Zahid yang sememangnya dilihat pemimpin masa depan Perak dan negara berikutan pencalonannya bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan UMNO Mac nanti mempunyai tanggungjawab berat untuk memastikan imej dan prestasi BN di negeri itu kembali berada di kemuncak.
Adalah tidak keterlaluan jika dikatakan langkah UMNO melantik Ahmad Zahid sedikit sebanyak meresahkan kerajaan negeri yang diperintah oleh pakatan pembangkang. Ini kerana selain dilihat pemimpin muda yang berkaliber, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga dikatakan mempunyai tarikan tersendiri bagi memastikan panji-panji BN kembali ditegakkan di Perak.
Namun sudah pasti dalam soal memulih imej BN tersebut, ia bukan sahaja terletak di bahu Ahmad Zahid sahaja, malah semua pemimpin-pemimpin BN dan UMNO di negeri itu harus bersama-sama dengan beliau. Mereka perlu memberikan sokongan padu kepada Ahmad Zahid bagi mengatur jentera parti selepas Mac nanti untuk berhadapan dengan pembangkang.
UMNO Perak sudah tidak ada masa lagi untuk melayan mana-mana pemimpin yang terasa tersisih, terasing atau dipinggirkan berikutan kepercayaan pucuk pimpinan kepada Ahmad Zahid. Sebaliknya UMNO dan BN mempunyai agenda yang lebih besar iaitu merampas kembali negeri kesayangan BN itu daripada pembangkang.
Kekalahan teruk dalam pilihan raya umum lalu seharusnya menjadi pengajaran kepada UMNO Perak bahawa dalam politik segalanya berkemungkinan. Pakatan pembangkang hanya berhak diberi sepenggal sahaja memerintah negeri itu dan kemaraan mereka harus dihentikan dalam pilihan raya umum akan datang. Perak tidak harus dibiarkan mengalami nasib seperti Kelantan yang sehingga ini impian UMNO untuk merampasnya kembali hanya ibarat satu mimpi. Hakikatnya, sudah ada suara-suara di kalangan rakyat untuk menolak PKR, DAP dan Pas di Perak dan mereka hanya menanti pilihan raya sahaja untuk berbuat demikian.
Oleh itu UMNO dan BN harus mengambil kesempatan tersebut dengan memperkukuhkan barisan bagi merampas kembali tampuk pemerintahan kerajaan negeri. Sesungguhnya Perak kini sudah mendapat nafas baru dalam meneruskan perjuangannya, oleh itu terserahlah kepada pemimpin UMNO dan BN menentukan bagaimana seharusnya nafas berkenaan dihembuskan
Sumber: Utusan Malaysia
0 comments:
Post a Comment