Followers

Thursday, March 15, 2012

Hari ini dalam Sejarah IV

KUALA LUMPUR 4 Jan - Setelah berlakunya pengambilalihan kuasa kerajaan negeri dari Kerajaan Pakatan Rakyat banyak pihak kini menyebut-menyebut siapakah yang bakal menjadi Menteri Besar Perak yang baru bagi menggalas perjuangan Kerajaan Barisan Nasional (BN) di negeri itu

Ini kerana calon yang bakal menerajui negeri itu nanti mestilah seorang yang berkaliber, disukai dan diterima rakyat bagi memastikan cengkaman kuasa dan pentadbiran kerajaan negeri berterusan tanpa sebarang masalah.

Berkebolehan dan berkelayakan sahaja tidak cukup, tugas berat mentadbir negeri ini pastinya sukar dilaksanakan lebih-lebih lagi dalam keadaan suasana politik masa kini yang memerlukan 'kelainan' untuk meyakinkan rakyat yang berjumlah lebih dua juta itu.

Ini kerana, dalam keadaan BN yang hanya mempunyai sedikit kelebihan kerusi DUN itu, adalah penting jika semua pihak dapat menerima dan memberi sokongan padu kepada sesiapa saja yang bakal dilantik Menteri Besar.

Perpaduan di dalam BN amat penting dan mereka mesti berfikiran terbuka untuk menerima siapa saja calon Menteri Besar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam sidang media di Putrajaya hari ini, berkata, BN sudah mempunyai beberapa nama yang bakal dicalonkan sebagai Menteri Besar Perak yang baru.

Nama-nama tersebut direstui dan disokong sebulat suara oleh para pemimpin BN Perak yang nampaknya berkobar-kobar menjalankan pentadbiran yang lebih baik daripada pakatan pembangkang.

Antara nama yang disebut-sebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abd Kadir.

Turut disebut termasuklah ADUN Manong, Datuk Ramly Zahary yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Perak, ADUN Sungai Manik yang juga Ketua Pemuda UMNO Perak, Zainol Fadzi Paharudin dan ADUN Belanja, Datuk Mohd Zaim Abu Hassan serta ADUN Kota Tempan, Datuk Shaarani Mohamad.

Bagaimanapun ramai pemerhati politik memberatkan Zambry bakal menerajui Kerajaan BN di Perak yang baru setelah mengambil alih daripada Kerajaan Pakatan Rakyat.

Menurut mereka, nama Ketua UMNO Bahagian Lumut itu disebut-sebut bukan sahaja kerana ketokohannya malah mempunyai taraf pendidikan pendidikan tinggi yang diperoleh oleh ahli politik muda itu.

Zambry berusia 47 tahun dilihat berkeupayaan dan berkemampuan kerana selain berjaya mengekalkan jawatan dalam pemilihan dalam UMNO tanpa bertanding.

Apa yang menarik lagi beliau juga adalah antara ADUN yang memperoleh majoriti selesa dalam pilihanraya umum ke 12 (PRU12) apabila berjaya mengekalkan kerusi DUN Pangkor dengan kemenangan selesa ke atas calon PKR, Pkhrazi @ Pakhrazi bin Musa. Majoriti yang diperolehi ialah 5,785.

Beliau berkelulusan Ph.D. dalam bidang politik.

Ia lebih menarik lagi apabila Kawasan Pangkor yang terletak dalam Parlimen Lumut di mana terletaknya kawasan Pasir Panjang yang diwakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin dari Pas dan Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham yang mewakili DAP di kawasan Sitiawan.

Semasa Kerajaan BN memerintah sebelum ini, Zambry dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia dan Teknologi Maklumat Perak.

Beliau merupakan seorang pemimpin muda yang berani dan lantang bersuara bagi menepis segala tohmahan jahat kerajaan pakatan pembangkang terhadap BN selama ini sama ada di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun di mana-mana gelanggang politik.

Latar belakang akademik beliau yang agak tinggi yang pernah menjadi pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menjadikan beliau begitu peka dengan segala tindakan licik pakatan pembangkang dalam segala hal dan antara individu yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana kelantangannya memperjuangkan hak-Hak Melayu.

Zaim dianggap sebagai pemimpin veteran dan juga bekas ahli Exco kerajaan negeri, kejayaan BN pada pilihan raya umum lepas dengan menyapu bersih semua kerusi di Parlimen Parit amat membanggakan.

Ia jelas menunjukkan beliau mampu memupuk perpaduan di kawasannya sehingga berjaya merampas kerusi-kerusi DUN yang dikuasai pembangkang pada 1999.

Datuk Ramly Zahari juga dilihat berkemampuan berdasarkan pengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan politik, beliau juga merupakan bekas ahli Exco kerajaan negeri sewaktu Datuk Seri Mohamad Tajol Rosli Ghazali menjadi Menteri Besar.

Ramly yang disenangi banyak pihak cukup terkenal dengan sikap tenangnya dalam menghadapi pelbagai kesukaran terutama sekali ketika duduk sebagai pembangkang selepas pilihan raya umum lalu.

Walau siapa pun yang bakal dilantik menjadi Menteri Besar, semua pihak mesti memberi sokongan padu tidak berbelah bahagi supaya usaha memupuk perpaduan dan berusaha membawa kemakmuran kepada rakyat Perak dapat dijayakan.


0 comments:

Post a Comment